Dari
segi bahasa kalimah Fiqh bermaksud memahami. Pada asalnya ia bermaksud memahami
agama secara keseluruhannya. Namun kemudiannya dikhususkan ulama kepada
memahami ajaran Islam yang berkaitan dengan hukum-hakam amali sahaja, iaitu
percakapan, perbuatan dan hal-ehwal luaran manusia tanpa menyentuh soal aqidah
dan akhlak. Secara lebih jelas, ilmu Fiqh ditakrifkan oleh ulamak sebagai;
"Ilmu berkenaan hukum-hakam Syarak yang bersifat 'amali yang diperolehi
dari dalil-dalilnya secara terperinci". Ulama membahagikan hukum-hakam
syarak kepada tiga iaitu hukum-hakam i’tiqad, hukum-hakam ‘amali dan
hukum-hakam akhlak. Perkataan Syarak bermaksud Allah dan Rasul. Dalil-dalil
Syarak pada dasarnya ialah Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah RasulNya. Namun
secara terperinci ia merangkumi juga Ijmak, Qiyas dan sebagainya.
Tujuan mempelajari ilmu Fiqh ialah untuk
mengetahui hukum-hakam Syarak mengenai setiap tingkah laku manusia dan
melaksanakan hukum-hakam tersebut dalam kehidupan dalam masyarakat. Ilmu Fiqh
amat berguna sama ada kepada ulama mahupun orang awam. Bagi para ulama mereka perlu
mendalami ilmu ini untuk mengajar orang ramai tentang hukum syarak. Hukum Syarak ialah "Ketetapan dari Allah
ke atas perbuatan-perbuatan hamba yang mukallaf sama ada ia perlu dilakukan
atau perlu ditinggalkan atau diberi pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya".
Ketetapan ini berdasarkan penelitian terhadap dalil-dalil Syarak iaitu
al-Quran, as-Sunnah, Ijmak, Qias dan sebagainya oleh para ahli Fiqh atau
Mujtahid.
Syarak
berada dalam tiga bahagian besar, pertama perbuatan-perbuatan yang dituntut
supaya dilakukan ( yang dituntut secara jazam iaitu tuntutan mesti).
Kedua, perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya ditinggalkan (yang dituntut
tidak secara jazam, iaitu tuntutan secara galakan sahaja, bukan tuntutan mesti
atau wajib). Ketiga, perbuatan-perbuatan yang diberi pilihan (yakni terserah
kepada manusia sama ada ingin melakukannya atau meninggalkannya).
Bagi bahagian pertama (iaitu
perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya dilakukan), jika jenis tuntutan adalah
jazam (yakni mesti), maka ia dinamakan wajib. Adapun jika jenis tuntutan adalah
tidak jazam (tidak mesti), iaitu hanya galakan sahaja, maka ia dinamakan sunat.
Bagi bahagian kedua pula (iaitu perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya
ditinggalkan), jika jenis tuntutan adalah jazam (yakni mesti), maka ia
dinamakan haram. Adapun jika jenis tuntutan adalah tidak jazam (tidak mesti),
iaitu hanya galakan sahaja, maka ia dinamakan makruh.
No comments:
Post a Comment